Saturday, January 3, 2009

Sifat & Fungsi Minda Separa Sedar

~~ di petik dr http://www.insan-luarbiasa.blogspot.com/ oleh Dr Zulkarnain MS~~



Minda sedar adalah minda logikal yang memberi sebab kepada sesuatu tindakan atau perkara di dalam minda. Minda ini berfungsi di dalam kawalan setiap manusia. Apabila anda ingin melakukan sesuatu, minda sedar akan memberikan sebab-sebab bagi tindakan yang diambil. Sebagai contohnya, anda memilih untuk membuka pintu, anda membeli dan membaca buku, anda memilih pasangan hidup, anda memandu kereta dan pelbagai pilihan yang anda lakukan.

Manakala, tanpa anda sedari dan di luar kawalan yang anda sedar, jantung anda beroperasi secara automatik, sistem perkumuhan dan ginjal berfungsi bagi mengeluarkan sisa-sia yang tidak diperlukan oleh badan dan sistem pernafasan beroperasi baki membekalkan oksigen yang diperlukan oleh sel-sel badan. Semua ini dikawal oleh minda separa sedar yang tidak berkait dengan minda sedar. Minda sedar anda tidak mampu mengawal operasi organ dan sistem yang dikawal oleh minda separa sedar. Cuba anda fikirkan persoalan berikut: (1) Mampukah minda sedar anda memberi arahan supaya jantung anda mengepam darah dengan laju atau menghentikan operasi buat seketika? (2) Mampukan minda sedar anda mengawal sistem pernafasan agar menghantar oksigen yang lebih ke otak? Jawapannya tidak. Tetapi, mesti ada pusat kawalan yang mengawal operasi setiap organ dan fungsi badan. Sistem kawalan inilah yang dinamakan minda separa sedar. Minda ini membentuk 90% dari keseluruhan operasi minda dan minda sedar hanya 10%.

Minda sedar berfungsi memberikan sebab bagi sesuatu tindakan atau perkara di bawah pertimbangan anda (atau dirujuk sebagai minda objektif). Manakala, penyimpanan maklumat dibuat oleh minda separa sedar (atau dirujuk sebagai minda subjektif). Juga, minda separa sedar yang memberikan tindakbalas emosi bagi sesuatu perkara. Anda tidak boleh mengawal emosi. Ianya datang dengan tanpa anda mampu mengawal. Perhatikan isu berikut: [1] Anda berjalan di bandar dan berselisih dengan seseorang asing. Tiba-tiba anda mengangkat kening atau anda memberi tindakbalas. Minda anda menyampaikan maklumat yang anda mengenali orang itu tanpa anda mengarahkan minda untuk berfikir. [2] Seorang rakan bercerita tentang kesusahan diri dan masalah yang melanda diri dan keluarganya. Tanpa anda kawal, anda menitiskan air mata atau begitu terharu dengan apa yang dialaminya. Semua ini terjadi tanpa anda kawal dan inilah antara tugas minda separa sedar.


Fungsi minda separa sedar adalah luas dan anda dimohon merujuk kepada artikel tulisan saya yang terdahulu iaitu berkaitan kapten dan krew kapal. Minda sedar adalah kapten dan minda separa sedar adalah krew kapal. Di dalam sebuah kapal hanya ada seorang kapten dan ramai krew kapal. Kapten dapat melihat sesuatu situasi dan memberi arahan kepada krew kapal. Jika arahannya betul, maka, kapal akan berlayar seperti dijangkakan. Manakala, arahan yang salah dari kapten akan diterima tanpa soal oleh krew dan kesannya ialah kapal akan tersasar atau berlaku bencana. Gambaran ini adalah konsisten dengan tugasan yang dilakukan oleh minda sedar dan minda separa sedar. Segala maklumat akan memasuki minda dan diterima oleh minda separa sedar tanpa mempersoalkan kebenaran, positif atau negatif dan baik atau buruk. Minda separa sedar akan menerima sesuatu tanpa memberi sebab-sebab atau mempersoalkannya sepertimana minda sedar. Jika sesuatu perkara baik atau positif diterima oleh minda sedar, ianya akan diterima seadanya oleh minda separa sedar. Begitu juga sebaliknya, jika sesuatu perkara tidak baik atau negatif diterima oleh minda sedar, ianya akan diterima oleh minda separa sedar tanpa banyak soal.


Kesimpulannya, minda separa sedar tidak akan membuktikan atau mempertimbangkan sesuatu maklumat atau perkara yang diterima oleh minda sedar . Sama ada baik atau buruk, benar atau salah. Minda separa sedar tidak membuat sebarang pilihan dan/atau perbandingan bagi proses memberi sebab bagi sesuatu. Minda separa sedar akan menerima sebarang cadangan walaupun ianya tidak benar. Jika, orang mengatakan anda tidak mampu melakukan sesuatu dan anda menerimanya, minda separa sedar akan percaya bahawa anda tidak mampu melakukannya dan menyimpan maklumat tersebut. Contoh lain ialah jika minda sedar anda berfikir bahawa diri anda lemah dan akan gagal melakukan perniagaan, minda separa sedar tidak akan mempersoalkannya dan akan menyimpan maklumat tersebut. Maklumat-maklumat negatif ini akan berada di dalam minda buat selama-lamanya sekiranya tiada usaha untuk mengeluarkannya.


Seawal tahun 1911, Dr. E. Claparde telah membuktikan kewujudan minda separa sedar melalui ujikaji ke atas seorang pesakit wanita. Pesakit tersebut mengalami kerosakan otak dan beliau tidak mempunyai memori atau ingatan. Beliau hanya bergantung kepada situasi atau peristiwa masa kini. Sekiranya pesakit itu menemui seseorang dan dalam masa 5 minit seterusnya menemui orang yang sama sekali lagi, pesakit ini akan memberi tanda hormat seolah-olah tidak pernah bertemu dengannya. Di dalam ujikajinya, Dr. Claparde menyorokkan pin tajam di tapak tangan dan bersalaman dengan pesakit tersebut. Tindak balas spontan iaitu pesakit itu menjerit kesakitan terkena pin tajam Dr. Claparde. Pada pertemuan berikutnya, pesakit tersebut tidak menunjukkan sebarang reaksi dan memberi penghormatan seperti biasa seperti berjumpa dengan orang asing. Tetapi, yang berbeza pada kali ini ialah beliau tidak bersalaman dengan Dr. Claparde. Apabila ditanya mengapa beliau tidak bersalaman, pesakit tersebut tidak memberi sebarang jawapan. Di dalam kes ini minda separa sedarnya melindungi beliau dari pengalaman kesakitan.


Bilakah minda separa sedar beroperasi? Sebenarnya kedua-dua minda beroperasi serentak, tetapi, minda subjektif (minda separa sedar) beroperasi dengan berkesan apabila minda sedar tidak berfungsi seperti ketika anda mengantuk dan hampir tidur atau ketika anda mengelamun. Minda separa sedar tidak menggunakan organ penglihatan bagi melihat sesuatu. Ianya boleh keluar dari tubuh dan pergi jauh untuk mendapatkan maklumat. Perkara ini terjadi pada J. K. Rowlings yang mendapat idea Harry Porter. Minda separa sedar boleh memahami apa yang orang lain fikirkan, menggambarkan kandungan sesebuah kotak yang tertutup atau mengagak kandungan memori komputer tanpa perlu melayari memori komputer tersebut. Maka, minda separa sedar adalah sangat penting dan besar kegunaannya jika kita tahu bagaimana ianya beroperasi dan bagaimana memanipulasinya untuk mencapai apa yang kita kehendaki.

No comments: